KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kira-kira 4.8 juta orang atau 43 peratus daripada rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas menghidapi Hipertensi (darah tinggi).
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata angka itu meningkat 10 peratus berbanding 10 tahun lepas.
Beliau berkata berdasarkan kajian kali ketiga oleh 'The National Health and Morbidity Survey' yang dibuat 10 tahun sekali itu, peningkatan itu berlaku berikutan semakin ramai rakyat Malaysia kini mengamalkan cara hidup tidak sihat serta kurang peka dengan tahap kesihatan mereka.
"Kita menyeru semua rakyat Malaysia agar kerap memeriksa tahap tekanan darah mereka. Ini kerana melalui kajian yang dilakukan itu menunjukkan hampir dua pertiga rakyat Malaysia yang menghidapi hipertensi tidak tahu bahawa mereka menghidap penyakit itu," katanya.
Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Mesyuarat Saintifik Tahunan kali ke-tujuh oleh Persatuan Hipertensi Malaysia di sini hari ini, beliau berkata daripada jumlah 43 peratus penghidap Hipertensi, hanya 26 peratus yang mengambil ubat-ubatan berjaya mengawal tahap penyakit itu.
Dr Mohd Ismail berkata pesakit tidak harus berhenti mengambil ubat-ubatan kerana faktor itu turut menyumbang kepada peningkatan peratusan penghidap penyakit itu.
"Jika ada segelintir penghidap hipertensi yang merasakan ubat-ubatan yang diambil itu memberi alahan atau tidak sesuai, sila maklumkan dengan doktor dan doktor akan beri ubat yang lain," katanya.
-- BERNAMA
Tuesday, May 11, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment